Pages

 

Sabtu, 17 November 2012

HURAIAN SUKATAN PELAJARAN PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN

2 komen
PENGENALAN
Pendidikan untuk semua menegaskan tentang hak semua kanak-kanak untuk diberi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut.  Keperluan untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu daripada tanggungjawab sosial yang penting dalam masyarakat. Individu berkeperluan khas yang berada dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di Malaysia merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Sindrom Down, Perkembangan Lewat, Austisme dan Hiperaktif.
     Kurikulum Kebangsaan tidak dapat memenuhi keperluan murid-murid PKBP.  Ini adalah kerana tahap pencapaian pendidikan murid-murid PKBP secara amnya amat rendah, dan pencapaian peningkatan adalah perlahan dan minimum.  Objektif yang terdapat dalam kurikulum sedia ada pula terlalu tinggi untuk murid PKBP menguasai kemahiran yang sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.
     Oleh itu terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus, dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid PKBP.  Perancangan dan penggubalan kurikulum PKBP mengambil kira kepelbagaian keupayaaan individu selaras dengan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II 3(2) yang menyatakan :
      "seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia
        mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dan
        disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai
        Kementerian Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai
        berupaya mengikuti program Pendidikan Kebangsaan layak untuk menghadiri
        program pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut;
            a)  murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental 
                 untuk belajar seperti murid biasa; dan
            b)  murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat  
                 anggotanya  atau terencat akal yang berat."
     Untuk memenuhi keperluan individu, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas)1997, yang menyatakan "guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas".
     Oleh itu, kurikulum PKBP dibina supaya pembelajaran yang diperoleh di dalam bilik darjah dapat diapliksi dalam kehidupan seharian.  Kurikulum PKBP juga menyediakan pendidikan berkualiti secara optimum kepada murid-murid PKBP supaya mereka dapat berfungsi sebagai individu yang berdikari, berjaya dalam hidup dan memberi sumbangan bakti kepada masyarakat.
     Kurikulim PKBP ini mengandungi matlamat, objektif, model konseptual kurikulum, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, tempoh pendidikan, pengurusan ruang pengajaran dan pembelajaran penilaian serta rekod perkembangan kemajuan murid, dan bidang pembelajaran.
     Kejayaan pelaksanaan kurikulum ini memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat dengan PKBP untuk menghayati kandungan kurikulum sesuai dengan kepelbagaian keupayaan individu berkeperluan khas supaya tercapai hasrat untuk melahirkan murid yang dapat menjalani kehidupan bermakna.
MATLAMAT
Kurikulum PKBP bermatlamat menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan  individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna.
OBJEKTIF
Kurikulum PKBP membolehkan murid :
i. mengamalkan tingkah laku dan sikap positif dalam menguruskan kehidupan seharian     yang lebih bermakna serta menjadi warganegara yang berguna.
ii. mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta dapat berdikari dalam kehidupan seharian.
iii. mempunyai kemahiran dan ketrampilan ke arah kehidupan bekerjaya.
iv. menjaga kesihatan dan keselamatan diri dengan sempurna.
v. memperkembangkan kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi, berinteraksi dan bersosialisasi dengan menepati tata susila masyarakt majmuk.
vi. mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian bagi yang beragama Islam.
vii. mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
viii. memahami perkembangan jasmani dan menguasai kemahiran motor untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah.
ix. mempunyai daya kreatif dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.
x. bersedia mengembangkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi seiring dengan perkembangan semasa.

2 komen:

Unknown berkata...

ini boleh dijadikan panduan untuk mengajar...

Unknown berkata...

BOLEH DI JADIKAN BAHAN RUJUKANN

Catat Ulasan